Selasa, 30 Jun 2009

Utusan malaysia:30 ju 09:RM920 juta diperlu baiki jalan cerun bukit

KOTA KINABALU 30 Jun - Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri memerlukan lebih RM920 juta untuk membaiki 517 jalan raya di lereng bukit.

Timbalan Pengarah Pembangunan dan Infrastrukturnya, Ir. Amrullah Kamal berkata, daripada jumlah itu, 130 jalan adalah jalan Persekutuan.

"Kerja-kerja membaik pulih sedang giat dilakukan di kawasan yang memerlukan bagi memastikan keselamatan awam terjamin dan mengelak berlakunya insiden tidak diingini.

"Awal bulan ini kita telah menerima peruntukkan segera RM10 juta melalui Kementerian Kerja Raya daripada jumlah keseluruhan yang dimohon iaitu RM70 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Seminar Kesedaran Awam Tentang Keselamatan Cerun oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di Hotel Le Meridien di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR, Datuk Ir. Dr. Ashaari Mohamad.

Amrullah berkata, kerja-kerja membaik pulih itu bergantung kepada keadaan cuaca dan dilakukan secara berperingkat mengikut keutamaan serta keperluan.

Sementara itu, Musa meminta sebarang kerosakan jalan di lereng bukit perlu dibaiki segera dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk diselenggarakan.

"Jika terdapat tanda-tanda hakisan kecil di sesuatu cerun, tindakan pembaikan dengan kadar segera perlu diambil bagi mengelakkan keruntuhan lebih besar yang tentunya melibatkan kos tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Ashaari pula berkata, jalan-jalan di negeri ini terpaksa dibina di kawasan cerun dan lereng bukit kerana muka bumi yang berbukit bukau.

Sehubungan itu, katanya, pengurusan yang sistematik serta berkesan perlu bagi memastikan di lereng bukit selamat digunakan.

"Dalam hubungan ini kerjasama erat antara JKR negeri dan Pusat amat diperlukan dalam menjayakan sesebuah projek membina jalan raya," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan