Rabu, 1 Julai 2009

7 pelajar aktif pecah rumah waktu belajar

PASIR PUTEH 1 Julai - Tujuh pelajar yang berusia antara 14 hingga 16 tahun ini sepatutnya menghabiskan masa mereka menuntut ilmu di sekolah.
Namun, mereka tidak berbuat demikian sebaliknya menggunakan waktu belajar untuk bergiat aktif memecah rumah di siang hari.
Lebih malang, ada pihak yang sanggup menjadi pembeli hasil barangan curi pelajar-pelajar tersebut.
Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar apabila empat daripada tujuh pelajar bersama tiga wanita ditahan kerana membeli barang kemas yang dicuri di Padang Amat, dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, polis sebelum itu, menahan tiga daripada pelajar terbabit di salah sebuah sekolah di bandar ini, kelmarin hasil maklumat awam.
Beliau berkata, pihaknya turut menemui sebuah telefon bimbit dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil kegiatan pecah rumah.
"Ekoran daripada itu, polis menahan empat lagi rakan mereka dan tiga wanita kerana terlibat membeli barang kemas curi.
"Polis juga menemui semula sebahagian barangan kemas yang dicuri itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Kamal berkata, pihaknya juga telah menemui sebuah komputer riba daripada salah seorang mereka.
Katanya, siasatan mendapati kesemua pelajar terlibat melakukan kegiatan pecah rumah pada siang hari.
"Kami tidak menolak kemungkinan pelajar-pelajar itu turut ponteng sekolah. Kami percaya dengan tertangkapnya mereka, polis dapat selesaikan beberapa kes pecah rumah di siang hari," ujar beliau.
Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana ceroboh rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan