TAMPIN 1 Julai - Hanya berpunca daripada perbalahan dengan suami, seorang ibu muda berusia 26 tahun bertindak nekad menelan beberapa biji pil penenang milik ibunya sebagai jalan penyelesaian untuk membunuh diri.
Tidak cukup dengan itu, wanita terbabit turut memaksa tiga orang anaknya menelan pil yang sama, menyebabkan kesemua mereka terpaksa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban, hari ini.
Wanita itu, kini dilaporkan stabil bersama anak-anaknya yang berusia sembilan bulan, 5 tahun dan 6 tahun.
Suami wanita itu yang berusia 32 tahun ketika ditemui di HTJ berkata, dia ada bertengkar dengan isterinya malam tadi kerana masalah keluarga.
"Saya meninggalkan rumah di Taman Indah Baru dan bermalam di rumah ibu di kawasan perumahan yang sama. Tidak pernah langsung terlintas dalam diri saya isteri saya akan melakukan perkara ini," katanya.
Menurut lelaki itu, isterinya sebelum ini pernah cuba membunuh diri beberapa tahun lalu juga berkaitan masalah keluarga.
Dalam pada itu, dia berkata, kejadian itu disedari ibu mertuanya yang ternampak salah seorang cucunya tidak sedarkan diri dalam keadaan mulut berbuih kira-kira pukul 8.30 pagi ini.
Ketika itu, dia sedang berjalan ke dalam bilik cucunya selepas gagal menemui pil penenang bagi rawatan psikiatrik yang perlu dimakannya setiap hari.
"Dia kemudian masuk ke bilik isteri saya dan mendapati mulut anaknya berbuih. Apabila dia gagal mengejutkan isteri saya, dia terus meminta bantuan jiran untuk menghubungi saya," kata suami wanita itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Zull Aznam Haron mengesahkan kejadian itu dan polis akan merekodkan kenyataan daripada suami dan ibu kepada wanita terbabit.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan