Rabu, 1 Julai 2009

WILAYAH Timur: Lima kakitangan ditamatkan perkhidmatan

Oleh Nasuha Badrul Huzainibhnews@bharian.com.my
Pelbagai kesalahan, masalah disiplin dalam tempoh enam bulan KUANTAN: Lima kakitangan sokongan beberapa jabatan di sini ditamatkan perkhidmatan kerana terbabit dengan pelbagai kesalahan dan masalah disiplin dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail. Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, 14 kakitangan sokongan dikenakan tindakan sama kerana terbabit dalam rasuah, penyalahgunaan dadah dan ponteng kerja.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan bertolak ansur mengenai perkara itu, sebaliknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka. "Kita memandang serius perkara ini dan tiada peluang kedua diberikan kepada mereka kerana kesalahan dilakukan menjatuhkan imej serta menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam disediakan kerajaan negeri," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis perhimpunan Pemantapan Modal Insan anjuran pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, kelmarin.
Pada majlis sama, Muhammad Safian turut melancarkan pelaksanaan amalan persekitaran berkualiti 5S (sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amal) kepada warga kerja SUK. Beliau berkata, pelaksanaan amalan itu bertujuan mewujudkan suasana kerja yang kondusif, menerap budaya kerja yang lebih berkualiti serta menjadikan pejabat SUK sebagai antara organisasi yang memiliki pengurusan kerja yang terbaik. Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang merancang melaksanakan Indeks Petunjuk Utama (KPI), meningkatkan sijil pengurusan kualiti ISO bagi mencapai kualiti perkhidmatan, serta melaksanakan sistem penarafan bintang kepada warga kerjanya. "Kita ada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) bagi menilai prestasi kakitangan di pejabat SUK," katanya.
Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang kepada 44 kakitangan berdasarkan kecemerlangan prestasi kerja yang ditunjukkan sepanjang tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan