KUCHING: Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) mahu media cetak dan elektronik di negeri ini lebih seimbang dalam melaporkan perkembangan terkini penularan virus Influenza A (H1N1) ke Sarawak supaya ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong, untuk enam bulan kedua tahun ini. Presidennya, Wee Hong Seng, berkata laporan yang sengaja diperbesarkan akan menyebabkan kedatangan pelancong ke negeri ini terjejas, ekoran ramai pelancongan yang terpengaruh dengan laporan itu, yang takut untuk datang bercuti ke negeri ini. Beliau berkata, media di negeri ini sepatutnya melaporkan belum ada sebarang kes kematian dicatatkan di Sarawak walaupun empat kes sudah dikesan di negeri ini setakat ini.
Katanya, media cetak dan elektronik di Sarawak juga perlu memberi gambaran tepat bahawa penularan virus H1N1 di Sarawak tidak serius. "Larangan kepada semua pelajar Sarawak di luar negara, supaya tidak pulang bercuti ke negeri ini buat sementara waktu akan mempengaruhi keputusan pelancong untuk tidak datang ke negara ini. "Oleh itu, pengamal media di Sarawak perlu melihat kesan laporan yang ditulis dari beberapa sudut dalam penulisan dan penghasilan berita," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Wee berkata, media perlu menyebarkan maklumat mengenai kaedah untuk menangani penularan H1N1 yang disediakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Beliau berkata, sehingga kini, WHO belum ada mengeluarkan arahan sekatan untuk mengunjungi mana-mana negara. "Ia membuktikan laporan media dan arahan WHO tidak selari dan perlu diperbetul segera," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan